Pokok takkan bergoyang kalau tak ditiup angin kan? Zaman sekarang pun mana ada lagi orang mereka-reka gosip, that is sooo 90’s.
Terbaru, sayup-sayup terasa angin bertiup di telinga bahawa Shila Amzah sudah merancang untuk berkahwin. Dengan siapa lagi kalau bukan Sharnaaz Ahmad, jejaka kacak yang berjaya menawan hati penyanyi yang popular dengan lagu “Patah Seribu” ini.
Kalau sebelum ini, mereka berdua hanya memberitahu bahawa status mereka cuma ‘teman tapi mesra’, kemudian sudah ber-‘bee’ pula di laman Twitter. Baru-baru ini ketika di AJL 26, pasangan muda yang sedang mencipta nama dalam dunia seni hiburan ini dilihat berpegangan tangan tanpa berselindung. Auwww!
Hangat bercinta ya? Disebabkan khabar angin yang bertiup, OHBULAN! dengan segera menghubungi ibu Shila untuk mendapatkan kepastian.
“Aik, macam mana awak tahu perkara yang kami sendiri belum tahu? Setakat ini tak pernah lagi kami bincangkan mengenai hal kahwin. Lagipun Shila mahu fokus dahulu terhadap kerjaya seninya. Sekarang pun jadual dia sangat padat sehingga bulan Mei nanti,” ujar ibu Shila tergelak menafikan khabar angin tersebut.
Bukan niat kami mahu suka-suka terjah artis tanya pasal kahwin, tapi apa salahnya kalau benda yang baik seperti kahwin ini dikongsi bersama peminat, kan? Lagipun, ada lebih kurang 170 ribu ‘followers’ Twitter Shila yang sedang menunggu berita gembira ini.
Tambah ibu Shila lagi, “Buat apa nak berahsia, kalau betul perkara baik ini berlaku, kami akan kongsi dan beritahu pada umum. Benda baik kan tak elok disimpan-simpan.”
Biasalah, jawapan-jawapan begini selalu diterima kami ketika temubual. Namun jika benar Shila sudah merancang untuk berkahwin, tahniah dan moga dimurahkan rezeki. Mungkin Sharnaaz Ahmad boleh jawab mengenai spekulasi yang timbul pula selepas ini.
Shila Amzah kini sedang sibuk merakamkan single terbarunya dan sidang akhbar mengenainya akan diadakan dalam masa yang terdekat.