Suarez patut dibuang padang - Rooney
MANCHESTER - Luis Suarez terlibat dalam satu lagi kontroversi sekembalinya daripada penggantungan, apabila bintang Manchester United, Wayne Rooney mendakwa penyerang Liverpool itu patut dibuang padang ketika Redsseri tanpa jaringan dengan Tottenham, semalam.
Selepas tamat perlawanan, pengurus Reds, Kenny Daglish mengulangi sokongannya terhadap Suarez, sambil menegaskan bahawa pemain Uruguay itu tidak sepatutnya digantung lapan perlawanan.
Bagaimanapun fokus Rooney adalah kepada insiden yang berlaku di atas padang sebaik sahaja Suarez dimasukkan sebagai pemain gantian di Anfield semalam.
Penyerang tersebut dilayangkan kad kuning kerana menendang perut pemain tengah Tottenham, Scott Parker.
Rooney percaya, untuk kekasaran seperti itu, kad merah adalah tindakan paling wajar.
"Sekiranya pengadil melihat tendangan yang dilakukan Suarez, dia pasti akan mengambil tindakan terhadapnya, ia sepatutnya kad merah,'' kata Rooney dalam rangkaian sosial, Twitter.
Rooney menerima kritikan atas komen yang dikeluarkan itu, namun mempertahankannya dengan membuat perbandingan dengan rekod disiplinnya sendiri ketika menjawab soalan yang diajukan oleh peminat.
"Kepada sesiapa yang bercakap mengenai sikap agresif saya, saya ingin beritahu bahawa saya belum menerima satu pun kad kuning musim ini,'' kata Rooney lagi.
Bekas pertahanan United dan England, Gary Neville turut bersetuju dengan pandangan Rooney mengenai insiden tersebut.
Neville memberitahu Sky Sports: "Suarez memang bertuah. Pengadil melepaskan dia untuk satu kesalahan."
Dalglish bagaimanapun enggan mengulas komen kedua-dua pemain tersebut, dan memberitahu wartawan: "Mengapa anda tidak tweet balik kepada Wayne? Saya tiada pandangan mengenai apa yang mereka tweet, apatah lagi kalau saya tidak melihatnya sendiri.
"Kalau Gary Neville atau Wayne berada di sana dan bertanyakan soalan itu kepada saya, mungkin saya akan jawab tetapi saya tidak rasa anda boleh menyokong apa yang mereka kata." - AGENSI