Friday, February 3, 2012

Safee 'selamat' seketika


Safee 'selamat' seketika




Alex Soosay serius ketika menjelaskan kepada pemberita mengenai kedudukan Safee Sali pada majlis ramah mesra di antara AFC dan media tempatan di Bangsar, semalam. - utusan/Safrizal Azmi


KUALA LUMPUR - Safee Sali masih boleh mewakili Harimau Malaya tetapi hanya sehingga 22 Mac depan. Apa yang berlaku selepas itu, bergantung kepada bagaimana Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menyelesaikan kemelut status pengharaman Liga Super Indonesia (ISL).
Itu gambaran yang diberikan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Alex Soosay ketika ditanya mengenai peluang ketua pasukan Pelita Jaya itu untuk menyarung jersi negara dalam sebarang kejohanan yang diiktiraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bagaimanapun Alex menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang peringatan atau arahan kepada PSSI untuk menyenaraikan nama-nama pemain yang bermain dalam ISL seperti yang dilaporkan sebuah portal berita Indonesia, Khamis lalu.
"FIFA dan AFC memberi masa sehingga 22 Mac depan kepada PSSI untuk mengadakan satu sidang kongres dan pilihan raya bagi menyelesaikan kemelut mengenai status liga yang diharamkan (Liga Super Indonesia).
"Saya difahamkan mereka akan mengadakan kongres pemilihan jawatankuasa yang baru pada 18 Mac, beberapa hari sebelum tarikh akhir yang diberikan oleh FIFA.
"Jika mereka gagal mencapai kata sepakat dalam soal ini sebelum tarikh yang diberikan, kelab dan pemain yang beraksi di bawah naungan PSSI berdepan tindakan bahaya akan digantung oleh FIFA.
"Bentuk hukuman itu bergantung kepada tindakan FIFA tetapi risiko untuk digantung memang tinggi kerana mengikut peraturan yang termaktub, semua pasukan harus bermain dalam satu liga yang diiktiraf oleh badan negara itu dan dalam dalam kes ini ialah PSSI.
"Saya juga menafikan membuat sebarang permintaan kepada PSSI untuk mengeluarkan nama-nama pemain (bermain dalam ISL). Apa yang dilaporkan dalam berita itu adalah tidak tepat," katanya yang ditemui selepas meraikan rakan-rakan media dalam satu majlis makan tengah hari di Bangsar, semalam.
Selepas mendengar penjelasan Alex, masa depan Safee untuk mewakili Harimau Malaya jelas tidak menentu seandainya tiada penyelesaian positif dicapai berhubung status liga ISL dan Liga Premier Indonesia (IPL) selepas 22 Mac.
Biarpun PSSI menganggap ISL sebagai sebuah liga haram tetapi di kaca mata FIFA dan AFC, badan induk bola sepak Indonesia itu perlu menyelesaikan kekeliruan yang melanda dengan menghimpunkan semua pasukan yang bertanding di bawah satu liga.
Mengenai nasib Safee, Alex memberi nasihat kepada bintang penyerang negara itu supaya bersedia berdepan sebarang risiko jika PSSI berdepan tindakan penggantungan.
''Saya faham dia sudah mengikat kontrak dengan kelabnya sekarang tetapi ia tidak diiktiraf oleh badan induk bola sepak negara itu.
''Jika sekatan dikenakan ke atas PSSI, semua orang akan menerima nasib yang sama termasuk dia sendiri, risiko yang dia tanggung memang tinggi, " katanya.
Melalui laporan yang didedahkan oleh media negara seberang itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah diberi peringatan oleh PSSI bahawa dia berkemungkinan akan diharamkan beraksi di peringkat antarabangsa jika terus bermain dengan Pelita Jaya dalam saingan ISL yang dilabel 'liga haram' di sana.
Namun, FAM melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad dan pengurus skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal menafikan telah diberi sebarang peringatan oleh FIFA atau AFC mengenai pelarangan menggunakan khidmat Safee mewakili pasukan negara.

Total Pageviews