Saturday, March 17, 2012

Shila Amzah Penyejuk Hati Sharnaaz


Shila Amzah Penyejuk Hati Sharnaaz


Shila Amzah Penyejuk Hati Sharnaaz
 Kheme Rosly
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2012: Umum sudah mengetahui hubungan cinta di antara Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah yang mendapat perhatian ramai sejak penghujung tahun lalu.
Mereka tidak pernah menyembunyikan perasaan dan kemesraan di antara mereka juga disenangi oleh peminat kerana keduanya pandai membawa haluan masing-masing.
Berkesempatan bertemu Sharnaaz di sebuah penggambaran majalah, baru-baru ini portal murai.com.my sempat bertanyakan apakah perkembangan terbaru dan kisah di sebalik hubungannya bersama pelantun lagu Memori Tercipta itu.
"Sepanjang bersama dengan Shila ini saya rasakan sikap panas baran saya sedikit berkurangan. Saya pun bukanlah baran tidak tentu pasal tetapi mungkin sekarang selalu rasa gembira jadi kurang sedikit perasaan nak marah itu.
"Kehadiran Shila sekarang banyak membantu dan juga berjaya menimbulkan rasa tanggungjawab pada diri saya. Saya memandang serius hubungan saya dengan Shila kerana perkenalan dengannya lebih mematangkan diri saya dan dia lain daripada individu yang pernah saya kenali sebelum ini," katanya.
Meskipun mempunyai angan yang tinggi bersama gadis berkenaan, namun Sharnaaz memberitahu antara mereka masih belum memikirkan untuk menamatkan zaman percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan.
"Sebarang perancangan lain yang lebih serius buat masa terdekat ini masih belum ada. Bagi saya masih terlalu awal untuk mengumumkan apa-apa yang belum pasti.
"Tetapi untuk dua atau tiga tahun akan datang saya ada memikirkan mahu menamat zaman solo namun belum ada perbincangan mengenainya. Tumpuan saya kini, lebih saya berikan kepada karier begitu juga Shila sebab kalau nak kahwin pun kenalah ada perancangan dan persiapan yang rapi," ujarnya.
Kata Sharnaaz lagi, apa yang mengembirakannya ialah hubungan mereka mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga. Dek kerana itu, dia tidak mahu melanggar kepercayaan yang diberikan oleh keluarga mereka.
Paling istimewa, terang Sharnaaz, antara mereka saling menyokong satu sama lain serta jauh sekali mahu mengongkong pergerakan mahu pun aktiviti masing-masing.
"Kami saling menghormati antara satu sama lain. Dia tidak pernah menghalang atau menetapkan sebarang syarat kepada saya serta saya juga sama. Lagipun selagi, Shila berada di luar untuk berkerja, saya sentiasa berfikiran positif. Dia juga mengamalkan perkara yang sama untuk kebahagiaan kami," jelasnya.
Beralih kepada perkembangan seninya, kata Sharnaaz, dia kini terlibat dengan penggambaran drama bersiri, Memberku Hawa selain filem Juvana dan juga telemovie Warkah Cinta Mat Rock.

Total Pageviews