Tuesday, March 22, 2011

Review …Dalam Botol : Sebuah Filem Yang Berani, Berisiko Tinggi.


…Dalam Botol bermula dengan Anu dan berakhir dengan …. Kalau silap percaturan, penonton yang menyaksikan filem ini akan keluar pawagam dengan seribu persoalan atau pun terdiam tanpa persoalan. Sebelum itu, baca penulisan aku di laman Gua berjudul Filem …Dalam Botol Tebal Jiwa & Besar Pemikirannya dalam versi lebih formal.
Aku yang telah menonton filem ini merasakan ada sesuatu dalam filem ini. Lebih membanggakan aku bila filem ini dihasilkan oleh pengarah yang pertama kali duduk di kerusi sutradara, Khir Rahman. Aku dapat rasa, jika Khir diberikan peluang lagi, dia akan hasilkan filem yang lebih hebat lagi dengan bajet yang mencukupi. Aku dapat rasakan aura Yasmin Ahmad dan U-Wei Hj Shaari dalam filemnya.
Kalau ada rezeki, Khir Rahman akan menang Pengarah Harapan di FFM yang akan datang. Tapi kita tahu yang FFM sememangnya tidak boleh diharap sama macam tahun-tahun yang dulu dan filem ini akan lebih panjang langkahnya. Mungkin.
Kenapa aku kata filem ini berbeza? Filem ini berani. Naskhahnya berani. Pengarahnya berani. Risiko yang diambil juga cukup besar. Pedulikan apa orang lain kata, aku akan tetap buat cara dan gaya aku sebagai pengarah.
Hasilnya, filem ini ada “angst”nya yang tersendiri. Cuba korang google makna “angst” itu atau pun search di wikipedia. Kekeliruan, kesuraman, kegelapan dunia gay yang digambarkan cukup berkesan. Well, filem ini bukan filem anti-queer! Jauh sekali filem queer! Filem ini bermain dengan emosi yang tidak hanya bersandarkan pada dialog, tetapi juga harus diteliti visualnya dan diamati muziknya.
Filem ini cukup ramuannya, baik lakonan, lakonlayar, sinematografi, suntingan, muzik dan keseluruhannya. Korang yang akan menonton filem ini saksikan bagaimana Khir mengolah skrip kosong menjadi sebuah visual yang cukup indah. Indah di sini bermaksud skrip dan visual yang digabung cukup serasi dan kena dengan situasinya. Muzik dimasukkan bila perlu dan menerusi lirik lagu juga, Khir bercerita.
Bila ada orang tanya pada aku “best ke …Dalam Botol?” Aku susah nak jawab. Pertamanya kerana aku perlu tahu yang bertanya itu jenis penonton yang bagaimana. Keduanya aku kena tahu apa matlamat dia menonton sesebuah filem.
Setelah aku selidik, baru aku akan jawab. Filem ini memang bagus. Jiwa Melayunya cukup tebal. Filem ini melihat konflik dunia gay yang berlaku dalam kelompok masyarakat Melayu yang masih berpegang pada nilai-nilai kehidupan, baik budaya mahu pun agama yang cukup kuat. Sekaligus menjadikan pemikirannya terhadap masyarakat Melayu itu sendiri cukup besar pengaruhnya.
Tidak hairan sekiranya makin panjang langkah filem ini suatu hari kelak.
Aku wajar memuji lakonan mantap Ogy Ahmad Daud, Jalil Hamid dan Norman Damanhuri dalam filem ini. Tiga pelakon hebat ini bermain dengan emosi mereka mewakili kelompok ibu bapa yang berhadapan dengan pelbagai masalah yang mendepani mereka.
Tetapi di mana kelompok masyarakat Melayu yang lainnya ketika mereka berdepan dengan masalah? Ia akan dihuraikan dalam filem ini. Teliti visual dalam adegan tahlil dan kenduri kahwin. Di situ letaknya Melayu. Korang kena cari…
Korang harus menonton filem ini kerana aku mahu mendengar apa yang korang dapat setelah menonton filem ini.

Total Pageviews