Anwar diperintah membela diri
KUALA LUMPUR 16 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan demikian setelah mendapati bahawa pihak pendakwaan yang diketuai oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berjaya membuktikan kes prima facie ke atas pertuduhan tersebut.
Beliau membuat keputusan itu selepas meneliti kesemua keterangan saksi dan berpendapat bahawa Mohd. Saiful Bukhari sebagai saksi utama pendakwaan adalah saksi yang benar dan keterangannya boleh dipercayai.
Selain itu, katanya, keterangan saksi utama tersebut disokong dengan keterangan doktor-doktor bahawa berlakunya penetrasi zakar serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kedua-duanya berada di kondominium berkenaan pada masa seperti dalam pertuduhan.
Anwar yang tekun mendengar penghakiman selama satu jam 45 minit mulai pukul 9.08 pagi, sesekali menoleh ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang duduk bersama anaknya, Nurul Izzah serta penyokong-penyokongnya di galeri awam sambil tersenyum.
Raut wajahnya juga kurang ceria dan didengar seolah-olah mengeluh apabila keputusan selesai dibacakan oleh hakim tersebut.
Mahkamah menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mula memberi keterangan membela diri.
Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Dalam penghakimannya, Hakim Mohamad Zabidin berkata, Mohd. Saiful Bukhari adalah saksi yang jujur dan boleh dipercayai yang memberi keterangan tanpa segan silu atau menokok tambah berhubung kejadian liwat tersebut.
‘‘SP1 (Saksi pendakwa pertama - Mohd. Saiful Bukhari) telah disoal balas dengan panjang lebar, SP1 secara konsisten menggambarkan dengan terperinci bagaimana tertuduh memasukkan zakarnya ke dalam dubur pengadu dengan bantuan cecair pelincir.
‘‘Tiada apa yang datang daripada pemeriksaan balas SP1 atau saksi-saksi lain yang boleh mencadangkan bahawa apa yang diberitahu oleh SP1 adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Saya mendapati keterangan SP1 tidak terjejas.
‘‘Saya mendapati SP1 adalah saksi yang bercakap benar dan tanpa segan silu atau menokok tambah dalam keterangannya semasa menjelaskan bagaimana dia diliwat oleh tertuduh pada masa dan tempat sebagaimana dalam pertuduhan,’’ ujarnya.
Beliau sebelum itu berkata, pihak pembelaan cuba menggambarkan pengadu sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai dengan mendakwa pemuda itu bukan penganut agama Islam yang baik, datang daripada keluarga yang berpecah-belah termasuk adik perempuannya yang telah kahwin lari selain pengkhianat kepada Barisan Nasional apabila mengundi PKR pada pilihan raya umum.
Hakim Mohamad Zabidin menegaskan fakta-fakta tersebut adalah tidak relevan dalam menentukan kredibiliti pengadu tetapi terdapat aspek lain yang perlu diberi perhatian.
Beliau berkata, mahkamah perlu meneliti hujahan peguam berhubung tingkah laku pengadu seperti tidak lari selepas diliwat sebaliknya makan dan minum bersama tertuduh, melakukan segala arahan tertuduh ketika kejadian, tidak membuat aduan kepada pengawal keselamatan dan tidak membuat laporan polis dengan serta-merta.
Menurutnya, pihak peguam mendakwa tingkah laku sedemikian menunjukkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari tidak boleh dipercayai, seorang penipu dan mencadangkan pihak pendakwaan menuduh pemuda itu di mahkamah mengikut Seksyen 196 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu.
Hakim tersebut bagaimanapun berpendapat bahawa adalah tidak wajar untuk beliau menggunakan kegagalan Mohd. Saiful Bukhari melarikan diri, membuat aduan atau membuat laporan polis bagi menunjukkan bahawa kejadian liwat itu tidak berlaku.
Jelas beliau, tidak sukar untuk memahami kenapa pengadu berkelakuan sedemikian kerana dia ketika itu berusia 22 tahun, bukan pekerja biasa tetapi pembantu peribadi kepada tertuduh yang menjadi idola dan dianggap mempunyai karisma selain pengadu diberi layanan istimewa oleh tertuduh malah menghadiahkannya pakaian.
Selepas mendapati kredibiliti Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas dengan tingkah lakunya itu, menurut Hakim Mohamad Zabidin, soalan seterusnya adakah keterangan tertuduh yang mendakwa dia diliwat boleh diterima dan selamat untuk mahkamah memanggil tertuduh membela diri.